PEMIMPIN Bersatu menyindir Umno yang mahu ahlinya sedia mengundi calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman secara sinis berkata beliau sendiri tidak sabar melihat ahli Umno mengundi calon DAP.
“Semangat tengok muka mereka yang cari makan dalam Umno tak sabar mahu undi DAP sepertimana yang diarahkan oleh Ahmad Maslan,” tulisnya menerusi hantaran ringkas di Facebooknya.
Semalam Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ahli parti perlu mengetepikan sentimen dan sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada
“Apabila kita sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka kita hendaklah mengikut disiplin parti dengan memastikan arahan parti dituruti.
“Memanglah undi itu rahsia tapi gesaan saya ialah bukan atas nama DAP bukan atas nama parti-parti tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Jadi sentimen-sentimen yang ada pada diri kita hendaklah kita tinggalkan kerana dinamika politik Malaysia ini begitu hebat. Kita lihat apa yang berlaku sudah berlaku dan kita inginkan kestabilan,” katanya. – Malaysiapost