UMNO mengakui tidak mudah untuk ‘memujuk’ ahli parti itu menyokong parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan termasuk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Namun, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno mempunyai pendekatan tertentu supaya penyokong parti itu turut menyokong parti komponen lain termasuk DAP.
Menurutnya, kaedah yang sama akan digunakan ketika mendapatkan sokongan ahli Umno untuk menyokong calon parti lain dalam komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC.
“Dalam hal ini, ia bukan atas nama parti sebaliknya atas rasa kebersamaan parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Justeru serahkan kepada kami untuk santuni kumpulan sasaran kami kerana persepsi yang negatif ini ketika Perdana Menteri 22 tahun yang menampakkan rasa kebencian terhadap parti tertentu.
“Bukan mudah, namun tidak mustahil untuk dilakukan,” katanya pada sidang media di Majlis Mesra Aidilfitri anjuran FELCRA Berhad, hari ini.
Media semalam melaporkan, pengundi Umno di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, apabila ahli Umno sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.
Dalam perkembangan lain ketika ditanya soal pembahagian kerusi bagi berdepan PRN, Ahmad Zahid berkata, perkara itu akan dimuktamadkan sebelum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi-Pengerusi BN negeri dan kita sudah menyenarai pendek perkara itu sebelum dimuktamadkan nanti,” katanya. – Malaysiapost