Syukur, saya tak terikat arahan undi DAP – Annuar Musa
TAN Sri Annuar Musa secara sinis melahirkan rasa syukur kerana kini tidak perlu lagi menuruti arahan Umno dalam soal mengundi calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh itu merujuk kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa ahli Umno perlu sedia mentaati arahan parti termasuk mengundi calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
“Syukur Alhamdulillah……saya tak lagi terikat dengan arahan itu. Nah!.. tu dia akhirnya,” tulis bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau turut memuatnaik pautan laporan sebuah portal berita mengenai kenyataan Ahmad itu semalam.
Semalam Ahmad berkata, ahli parti perlu mengetepikan sentimen dan sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada
“Apabila kita sudah berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka kita hendaklah mengikut disiplin parti dengan memastikan arahan parti dituruti.
“Memanglah undi itu rahsia tapi gesaan saya ialah bukan atas nama DAP bukan atas nama parti-parti tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Jadi sentimen-sentimen yang ada pada diri kita hendaklah kita tinggalkan kerana dinamika politik Malaysia ini begitu hebat. Kita lihat apa yang berlaku sudah berlaku dan kita inginkan kestabilan,” katanya. – Malaysiapost