Tiada usul undi tak percaya terhadap PM
PERIKATAN Nasional (PN) mengesahkan tidak mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini.
Perkara itu disahkan oleh Pejabat Ketua Pembangkang, yang memaklumkan tiada mana-mana Ahli Parlimen PN yang mengemukakan usul itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat
“Tiada, tiada (usul tidak percaya kepada Perdana Menteri dikemukakan)…setakat ini tiada (perancangan),” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Perkembangan itu menyaksikan pentadbiran Anwar dijangka tidak berdepan ‘ujian keabsahan’ sepanjang sesi Dewan Rakyat kali ini.
Ia juga secara tidak langsung menamatkan spekulasi mengatakan jumlah sokongan dua pertiga kepada Perdana Menteri semakin berkurangan.
Sebelum ini, Anwar beberapa kali mencabar pembangkang supaya membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen bulan ini, sekiranya mereka yakin mempunyai jumlah sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen.
Cabaran itu dilontarkan susulan spekulasi mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen kepadanya menjadi polemik, selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, memberi bayangan mengenai gerakan menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Polemik itu tercetus selepas Muhammad Faiz memuat naik angka 126 di Facebook miliknya. – Malaysiapost