Tindakan tolak rayuan Lynas dipengaruhi emosi, politik 

Tindakan tolak rayuan Lynas dipengaruhi emosi, politik 

TINDAKAN kerajaan menolak rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) bagi menggugurkan empat syarat lesen ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) didakwa dibuat tanpa bersandarkan data dan fakta. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu mendakwa, keputusan itu dibuat kerajaan berdasarkan kepada persepsi, emosi selain bermotifkan politik. 

Beliau meminta kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempertimbang semula keputusan terbabit dan menyemak data dan fakta tepat berhubung pengoperasian LYNAS. 

“Beri keadilan kepada Lynas, mereka sudah lama membawa perniagaan di sini (melabur) dan hampir RM3 bilion (nilai pelaburan), keputusan diambil (oleh MOSTI) beri kesan kepada pelabur lain dan keyakinan mereka (pelabur) terjejas. 

“Kalau betul Lynas boleh mencemar alam sekitar dan menjejaskan kesihatan, kita setuju tindakan diambil, namun setakat 12 tahun beroperasi tidak ada (satu pun kes). 

“Data boleh diteliti di laman sesawang JAS (Jabatan Alam Sekitar) ada, AELB dan kesihatan (Kementerian Kesihatan) kerana ia disiarkan secara umum. 

“Malah, pekerja mereka (Lynas) tiada  seorang pun yang sakit terkesan daripada (aktiviti) yang mereka jalankan,” katanya ketika ditemui media pada majlis Aidilfitri keluarga Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota, dekat Kuantan, malam tadi. 

Majlis turut dihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Pengerusi PN Pahang. 

Pada 8 Mei lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, bersetuju melanjutkan tempoh operasi ‘cracking and leaching’ (C&L) LYNAS sehingga 31 Disember selepas mengambil kira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global. 

Ini bermakna mulai 1 Januari 2024, LYNAS perlu memastikan loji C&L di luar negara beroperasi dan syarikat itu tidak lagi dibenarkan mengimport bahan mentah mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia. 

Sebelum ini, AELB menolak permohonan LYNAS menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan sisa Water Leach Purification (WLP) selepas Julai 2023, aktiviti C&L di LYNAS Advanced Materials Plant (LAMP) dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah mendakwa penolakan itu dibuat kerana kerajaan tidak mahu melihat kepada fakta dan data sebelum ini. 

“Kita lihat keputusan MOSTI hanya (merujuk) kepada cerita (kisah) 15 tahun dulu, banyak persepsi dibawa (pada ketika itu). 

“Jadi, sekarang kita perlu tukar perkara (persepsi) ini dengan melihat data dan fakta pengoperasian LYNAS sepanjang 12 tahun,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, Andansura bersetuju LYNAS perlu mematuhi syarat ketat ditetapkan kerajaan. 

“Malah, soal keselamatan ini tidak boleh dikompromi dan  tidak boleh diambil ringan, kalau betul operasi ini mencemarkan dan menjejaskan kesihatan dan sebagainya, kita bersetuju tindakan (tegas) diambil,” katanya. – Malaysiapost

Komen