5 pelajar MRSM ditahan kes buli
LIMA pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau, Pulau Pinang, ditahan polis bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku di sekolah itu, Jumaat lalu.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 11 malam itu membabitkan seorang mangsa pelajar Tingkatan Tiga di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan.
Difahamkan, mangsa dikatakan dipukul oleh pelajar Tingkatan Lima disebabkan lambat turun untuk solat Subuh.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan menerima laporan dan tangkapan tersebut.
Menurutnya, tangkapan dibuat pada hari sama pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.
“Kesemua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas merakamkan keterangan mereka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.
“Siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek tersebut telah membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama antara jam 11 hingga 12.30 tengah malam membabitkan tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.
“Bagaimanapun tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya. – Malaysiapost