BEKAS Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu, beliau secara peribadi mahu memberi laluan kepada calon muda yang berpotensi dalam PN untuk bertanding.
“Sebelum ini, saya telah beritahu yang ingin berehat.
“Setelah berkhidmat tujuh penggal iaitu tiga penggal di Parlimen Gombak, tiga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan satu penggal di DUN Hulu Kelang.
“Maka, saya rasa sudah sampai masanya untuk memberi laluan kepada tokoh muda yang ramai berpotensi, saya akan terus memberikan khidmat dan sumbangan kepada PN,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka PN Selangor, malam ini.
Diminta mengulas mengenai dakwaan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib seperti dilaporkan sebuah portal berita, Azmin menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Saya terima banyak permintaan bukan sahaja DUN Morib tetapi beberapa DUN di Selangor.
“(Sekiranya dicalonkan) saya serah kepada kepimpinan parti,” katanya. – Malaysiapost