Elak perpecahan hanya kerana beza fahaman politik
“POLITIK matang apabila kita mampu menerima persahabatan dan mengelak perpecahan sesama kita hanya kerana perbezaan fahaman politik,” kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, berkata kelemahan orang Melayu adalah apabila terdapat perbezaan fahaman politik, akan terus berpecah dan menjadi musuh.
“Apabila kita mula berpecah sesama kita…musuh memusuhi sesama kita.…fitnah memfitnah sesama kita…kita lebih rela memperkukuhkan orang lain dari memperkukuhkan ukhuwah sesama kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Dalam hantarannya itu, beliau turut berkongsi suasana kemeriahan sambutan rumah terbuka Aidilfitri bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.
Menerima undangan rumah terbuka Tan Sri Annuar Musa sahabat lama saya dan mantan menteri kabinet saya.

“Yang seronok ke rumah terbuka apabila berpeluang bertemu sahabat handai yang lama tak jumpa…maka di situlah dapat bergelak ketawa tanpa mengira agama dan keturunan malah fahaman politik sekalipun,” katanya.
Turut kelihatan hadir pada majlis rumah terbuka itu adalah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Semalam Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) mengesahkan telah menghantar borang permohonan menyertai Pas.
Beliau turut mendakwa akan membawa lebih 1,000 ahli Umno bersamanya menyertai parti itu. – Malaysiapost