Gendang telah dipalu – Zahid

KESIAPSIAGAAN jentera di antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sedang diperkukuh bagi memastikan keyakinan rakyat dapat diterjemah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, persiapan diadakan termasuk melalui Konvensyen Perpaduan Negeri, Majlis Pimpinan Perpaduan Kedah 2023 yang diresmikannya di Ampang Business Centre, Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, antara tumpuan yang diberikan adalah isu keterjaminan makanan, isu air, pendidikan, peluang pekerjaan dan telekomunikasi menjadi wadah konvensyen sebagai sandaran untuk dipilih rakyat negeri Kedah nanti.

“Hari ini, saya amat berbesar hati melihat ramai ahli parti-parti Kerajaan Perpaduan di negeri Kedah berkumpul di Alor Setar, bagi membina kesepakatan bersama untuk kerjasama yang padu menempuhi PRN nanti.

“Konvensyen Perpaduan ini adalah yang pertama diadakan di peringkat negeri dan saya ucapkan tahniah kepada negeri Kedah kerana terus mengadakan penyelarasan di peringkat negeri, selepas berlangsungnya Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia, tempoh hari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hadir sama dalam majlis perasmian itu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta beberapa pimpinan parti lain.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berharap platform Konvensyen Perpaduan dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti-parti yang membentuk kerajaan.

“Bermusyawarahlah. Perkukuhkan kebersamaan ini hingga ke peringkat akar umbi.

“Semoga usaha jentera Kerajaan Perpaduan hari ini dapat diterjemah sebaiknya di atas kertas undi. Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights