KONTRAK penyampai radio (DJ), Khairy Jamaluddin yang mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama AG, Johan dan Fara Fauzana di stesen radio Hot FM, disambung sehingga hujung tahun ini.
Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah Hayatudin berkata, tempoh tugasan Khairy atau lebih mesra disapa KJ turut dilanjutkan dari sejam kepada dua jam.
“KJ akan bersama Hot FM sehingga hujung tahun ini dan akan bersiaran setiap Isnin dari jam 7 hingga 9 pagi.
“Bagaimanapun, jika ada sebarang kempen atau program khas, KJ akan terbabit sama, bukan hanya bertugas Isnin sahaja,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini.
Sementara itu, KJ menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, keserasian antara beliau dan Hot FM menjadi penguat untuk kembali beraksi di stesen radio itu.
“Terima kasih kepada pengurusan Hot FM dan Media Prima Berhad (MPB) kerana mengalu-alukan kehadiran saya.
“Memandangkan ada penerimaan baik, kami sama-sama setuju melanjutkan peranan saya di Hot FM.
“Saya harap, Hot FM akan kekal sebagai stesen radio pilihan anda semua,” katanya.
KJ mula bersiaran bersama Hot FM sejak 15 Februari lalu.
Hot FM merekodkan peningkatan 75 peratus pendengar dalam tempoh sejam melalui penstriman langsung digital Hot FM di hotfm.audio dan aplikasi Audio+, pada hari pertama KJ melapor diri sebagai penyampai di stesen itu. – Malaysiapost