Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci

KUMPULAN pertama jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci pada awal pagi tadi dengan penerbangan Malaysia Airlines yang membawa seramai 284 jemaah.

Penerbangan Malaysia Airlines MH8056 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah itu berlepas pada 2.05 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 5.50 pagi waktu tempatan.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, penerbangan pagi ini adalah permulaan kepada penerbangan-penerbangan yang seterusnya.

“Penerbangan pertama ini adalah gabungan jemaah dari Kedah dan Kelantan. Alhamdulillah para jemaah haji kita semua dalam keadaan sihat dan bersedia untuk perjalanan ke Tanah Suci.

“Saya ingin mengingat dan menasihatkan bakal-bakal haji yang seterusnya pada penerbangan yang akan datang supaya sentiasa bersiap sedia, menjaga diri dari segi kesihatan dan keselamatan serta ilmu.

“Ini supaya apabila berada di Tanah Suci dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam siaran langsung di laman Facebook TH, hari ini.

Beliau turut mengingatkan jemaah haji yang bakal tiba di Tanah Suci mengenai keadaan cuaca yang agak mencabar di sana iaitu suhunya 40 darjah Celsius ketika ini dan dijangka akan meningkat pada hari-hari seterusnya.

Penerbangan pertama jemaah haji negara bermula hari ini manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Sebanyak 98 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa kesemua jemaah haji Malaysia yang membabitkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines pada tahun ini berbanding 48 bagi 2022.

Lapan stesen berlepas akan digunakan untuk jemaah haji di seluruh Malaysia bagi urusan melapor diri antaranya di Kota Bharu, Kelantan; Kuala Terengganu, Terengganu; Alor Setar, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan KLIA.

Bagi tahun ini, hari wuquf iaitu 9 Zulhijah dijangka jatuh pada Selasa iaitu 27 Jun ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights