LEBIH ramai pegawai Imigresen akan ditempatkan di pintu masuk utama negara dalam usaha menambah baik perkhidmatan sekali gus mengurangkan kesesakan di lokasi terbabit.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai permulaan kira-kira 200 pegawai yang menamatkan latihan hari ini akan ditempatkan di dua lokasi strategik.
Menurutnya, seramai 100 pegawai akan ditugaskan di Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor manakala 100 orang lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2, bermula esok.
“Kesemua pegawai terbabit adalah sebahagian daripada 222 yang menamatkan latihan manakala bakinya akan ditempatkan di Bahagian Keselamatan dan Pasport Putrajaya, Akademi Imigresen serta JIM Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kadet Imigresen di Akademi Imigresen Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, Imigresen menyumbang RM5.2 bilion kepada kutipan hasil negara tahun lalu.
Katanya, sejak 1 Januari hingga 18 Mei lalu, Imigresen telah melaksanakan sebanyak 3,147 operasi penguatkuasaan yang menyaksikan 35,387 individu diperiksa.
“Seramai 21,125 pendatang tanpa izin ditahan sepanjang tempoh itu,” katanya.