Nik Abduh tetap bersama PAS

BEKAS Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan beliau tetap bersama PAS walaupun pelbagai desas-desus timbul susulan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Anak Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, jalan yang dipilih beliau adalah jalan sama dengan ayahandanya yang juga bekas Mursyidul Am PAS.

“Jalan saya adalah jalan ayahanda saya. Islam adalah penyelesaian. Itulah universiti politik Kelantan.

“Ada pun desas-desus itu dan ini, itu debu. Jaga mata anda. Tak sakit pun, kabur jadinya,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Nik Abduh memberi penjelasan susulan pelbagai spekulasi timbul selepas pertemuan beliau dan abangnya, Nik Omar bersama Anwar di Kelantan, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan Anwar serta Allahyarham ayahnya adalah kawan dan tugas menyambung persahabatan itu sunnah Rasulullah SAW.

Menurutnya, setiap kebaikan hendaklah dihargai dan tidak dibiarkan putus kerana itu juga sunnah Baginda.

“Antara dua insan besar ini ada persamaan dalam perjuangan politik mereka namun perbezaannya lebih besar, sebab itu mereka berbeza parti politik.

“Mereka pernah berselisih, tetapi persamaan yang ada mampu untuk tidak memanjangkan perselisihan itu.

“Begitulah saya. Perbezaan kekal, persamaan mendekatkan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights