Pengasuh mengaku salah cuai jaga bayi

PENGASUH sebuah taska di Taman Mutiara Rini, Johor Bahru yang tular dirakam mendera bayi jagaannya baru-baru ini, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah, hari ini.

Tertuduh, Nurul Shahira A’shiqin Sulaiman, 28, mengaku bersalah atas dua tuduhan bertindak cuai yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap dua bayi, Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Memetik laporan Harian Metro, Nurul Shahira yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 11 bulan dan seorang bayi lelaki sembilan bulan, didakwa bertindak cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini Johor Bahru, pada Mac lalu.

Bagi dua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebagai tambahan, tertuduh boleh dikenakan bon berkelakuan baik dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari mencadangkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Syufri A Samad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.

Beliau berkata, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dijalankan mahu pun ketika ditahan polis.

“Tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 sebulan, manakala suaminya yang bekerja kilang mempunyai gaji RM2,000 sebulan.

“Tertuduh juga menanggung ibu bapanya yang kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kes.

Tarikh 2 Ogos ini ditetapkan untuk fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat pada 15 Mei lalu yang memaparkan seorang wanita mendera bayi.

Susulan itu, seorang wanita tempatan ditahan pada jam 2 pagi 16 Mei lalu di Selesa Jaya, Skudai, oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Iskandar Puteri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights