POLIS menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan antara penyokong Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahya Hassan, berkata video kekecohan antara penyokong kedua-dua pasukan bola sepak itu turut dikesan tular di aplikasi WhatsApp.

Beliau yang mengesahkan kejadian itu berkata, kekecohan berlaku pada jam 9.17 malam tadi semasa perlawanan Liga Super antara tuan rumah Perak FC dengan pasukan pelawat Selangor FC.
“Keadaan dapat dikawal oleh pasukan polis yang bertugas di tempat kejadian dan seramai empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 26 tahun telah ditangkap kerana terlibat dalam kekecohan itu.
“Ujian saringan air kencing ke atas seorang daripada tangkapan mendapati positif dadah jenis ganja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kesemua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
“Polis ingin menyeru orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat video atau gambar mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 untuk membantu mengesan penyokong-penyokong yang terbabit dalam kekecohan itu,” katanya.
Terdahulu aksi Liga Super di Stadium Perak malam tadi dilaporkan ‘panas’ apabila segelintir penyokong kedua-dua pasukan bergaduh di kawasan tempat duduk penyokong Selangor.
Berdasarkan video yang tular beberapa penyokong dilihat bertumbuk sebelum pihak polis bertindak mengawal keadaan.
Dalam perlawanan malam tadi pasukan Perak FC tewas 0-4 kepada Selangor FC. – Malaysiapost