AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, membuktikan gambaran kononnya Kerajaan Perpaduan Perak tidak stabil.
Beliau yang juga Naib Pengerusi l PKR Perak, berkata Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu boleh membuktikannya dengan ‘angka’ semasa proses pengundian memilih Senator Dewan Negara bagi negeri Perak pada 25 Mei ini.
“Jelas niat Razman untuk menggambarkan kononnya kerajaan Perpaduan Perak tidak stabil supaya pelabur-pelabur kurang yakin dan akan memberi kesan kepada pembangunan, peluang pekerjaan serta ekonomi di negeri ini akhirnya yang akan menyusahkan rakyat
“Rakyat Perak sedia maklum Razman sebagai ‘pakar fitnah Perak’ kerana sebelum ini terbukti di mahkamah bahawa kenyataan-kenyataan beliau sebagai fitnah dan tidak benar, maka dalam perkara ini pun sudah tentu sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhammad Arafat merujuk kepada kenyataan Razman yang juga Adun Gunung Semanggol itu yang mendakwa beberapa Adun kerajaan ada bertemu dengannya, yang dikatakan berkait rapat spekulasi gerakan menjatuhkan kerajaan negeri itu.
Razman bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat dari parti membentuk Kerajaan Perpaduan Perak yang bertemu dengannya atas inisiatif sendiri.
Menurut Razman, kenyataan Menteri Besar Saarani Mohamad berhubung gerakan menumbangkan kerajaan hanya bersifat penafian dan mendakwa ‘hati manusia tidak boleh dipegang’.
Sementara itu, Muhammad Arafat menegaskan Kerajaan Perpaduan Perak pimpinan Saarani adalah kukuh dan jauh lebih stabil serta terus memfokus pemulihan ekonomi negeri. – Malaysiapost