RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang bermula esok.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan RUU itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertua Negeri sebelum dibentangkan pada persidangan DUN.
Justeru, beliau menafikan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan negeri seolah-olah sengaja cuba menangguhkan pembentangan undang-undang tersebut.
“Dakwaan daripada pembangkang bahawa kami sengaja menangguhkannya tidak benar, kami perlu mematuhi prosedur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, RUU itu memerlukan sokongan majoriti dua pertiga daripada ADUN sebelum dapat diluluskan.
“Saya menggesa wakil-wakil pembangkang untuk menyokong rang undang-undang ini, kerana mereka telah memperjuangkan agar undang-undang anti lompat parti diluluskan di Sabah,” katanya.
RUU Pindaan Perlembagaan Negeri merupakan salah satu daripada empat RUU yang akan dibentangkan dalam mesyuarat pertama penggal keempat DUN dari 22 Mei hingga 25 Mei. – Malaysiapost