Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga pendaki Everest

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah kepada keluarga pendaki Everest

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia ketika menawan gunung tertinggi itu baru-baru ini.

Ucapan takziah Paduka Baginda berdua dizahirkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham, yang juga merupakan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

“Baginda berdua turut mendoakan semoga seorang lagi pendaki ME 2023 orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim yang telah dilaporkan hilang pada Jumaat lalu dapat dijumpai dan diselamatkan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Susulan daripada itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menasihati para pendaki gunung negara agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya setiap kali melakukan misi pendakian gunung.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru semua pihak dan jabatan yang berkaitan agar menyediakan satu garis panduan dalam aspek keselamatan sukan mendaki dan ianya dikuatkuasakan kepada pendaki-pendaki Malaysia demi keselamatan mereka.

“Baginda berpandangan bahawa Malaysia sewajarnya mempunyai satu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terlatih dan didedahkan dengan operasi SAR di kawasan berisiko tinggi dan ekstrem seperti di gunung Everest.

“Pasukan ini boleh diaturgerakkan ke lokasi bila perlu dengan segera bagi melakukan operasi SAR,” katanya.

Seri Paduka Baginda turut berpandangan bahawa negara juga perlu mempunyai pakar perubatan yang berkaitan dengan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian mempunyai pasukan perubatan sendiri.

“Tugas pasukan perubatan itu penting untuk memeriksa dan memastikan tahap kesihatan para pendaki setiap hari serta memberi rawatan kecemasan kepada pendaki,” katanya. – Malaysiapost

Komen