Azmin sahkan 8 bekas pemimpin Umno sertai PN
LAPAN bekas pimpinan Umno disahkan menyertai Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga Pengerusi PN Selangor bagaimanapun enggan mengumumkan nama-nama pemimpin tersebut.
“Kerajaan ketika ini ialah kerajaan yang mengugut. Kalau mereka dapat tahu, dia akan ugut dan akan tekan. Ini satu perkara yang tidak baik.
“Jadi, sabar kerana ia akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin selepas Hari Raya Aidiladha,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka PN di Shah Alam, malam tadi.
Majlis berkenaan dihadiri Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pimpinan PN yang lain.
Turut kelihatan hadir di majlis berkenaan adalah beberapa bekas pimpinan Umno yang dipecat daripada parti itu termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Noh Omar.
Mohamed Azmin menambah, rakyat terutama di Selangor menyambut banyak perayaan tahun ini dan ia dilanjutkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Hari raya tahun ini panjang, hari ini sudah pun tamat Syawal, sudah masuk 1 Zulkaedah tetapi bagi Selangor ‘raya’ itu dilanjutkan sehingga PRN,” katanya. – Malaysiapost