Bantahan awal rayuan kes Bung Moktar, isteri didengar 7 Julai

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya menetapkan 7 Julai ini bagi mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Ab Samad berhubung keputusan yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memberitahu wakil media, bantahan awal itu akan didengar meskipun pihak-pihak masih belum menerima rekod rayuan, lapor Utusan Malaysia.

“Mahkamah mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 22 Jun ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Khairi Haron manakala peguam Tey See Khoon mewakili Bung Moktar dan isterinya.

Chin How turut menyatakan, jika bantahan awal ditolak pada tarikh berkenaan, rayuan akan disebut pada 17 Julai ini bagi memaklumkan perkembangan rekod rayuan.

Pada 7 Mac lalu, pihak pendakwaan memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.

Pihak pendakwaan menyatakan, bantahan awal dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Pada 9 Disember 2022, Bung Moktar dan isterinya gagal dalam permohonan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

Bung Moktar dan Zizie Izette sepatutnya mula membela diri atas pertuduhan rasuah pada 3 Januari lalu namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasangan itu menggantung prosiding itu sementara menunggu rayuan. – Malaysiapost

Kredit Foto : Agenda Daily

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights