BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Selayang, sebentar tadi.
Perkara itu disahkan abangnya yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menerusi hantaran di Facebooknya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa adik saya Chu @ Datuk Ismail Kasim telah meninggal dunia jam 2.45 petang.
“Saya memohon sahabat semua sedekahkan Al fatihah untuk beliau. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham terkena serangan jantung ketika berada di rumah.
Ismail, 63, pernah menjadi Adun Tambun Tulang selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan PRU14.
Sebelum itu, beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Arau bermula dari tahun 2008 sehingga 2013.
Pada PRU15 lalu, Ismail bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Wan Zikri Afthar Ishak. – Malaysiapost