HTJ siasat pesakit koma diarah discaj

PENGURUSAN Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban menubuh satu jawatankuasa khas bagi menyiasat aduan seorang wanita yang mendakwa suaminya yang koma diarah discaj dari hospital. 

Pengarahnya, Datuk Dr Zaleha Md Noor berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan satu pertemuan dengan pengadu akan diadakan bagi mendapatkan gambaran yang lebih terperinci berhubung kejadian itu.

“Jawatankuasa penyiasatan yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan akan diwujudkan khusus bagi menyiasat dengan teliti isu terbabit.

“Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terlibat sepanjang proses siasatan ini dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang memaparkan luahan seorang wanita, mendakwa pegawai perubatan sebuah hospital mendesaknya sejak minggu lalu untuk membawa pulang suaminya yang masih koma.

Katanya, pegawai perubatan itu memberi alasan suaminya sudah stabil serta tidak memerlukan rawatan pakar lagi selain hospital memerlukan katil untuk merawat pesakit lain.

Wanita itu turut memberitahu, dia terpaksa menyewa ambulans bagi membawa pulang suaminya namun malangnya lelaki itu diserang sawan dalam perjalanan pulang.

Wanita itu terpaksa menghubungi talian 999 bagi mendapatkan bantuan dan suaminya dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights