Jenazah pendaki Everest Malaysia dibawa turun hari ini

USAHA membawa turun jenazah Pengarah Angkatan Pertahanan Awam APM) Negeri Kedah, Allahyarham Leftenan Kolonel Ag Askandar Ampuan Yaacub, dari Everest Base Camp ke Kathmandu akan dilakukan pada hari ini.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan jenazah mangsa akan dibawa dengan menggunakan helikopter, sekiranya operasi membawa turun jenazah dari Kem Empat berjalan seperti dijadualkan.

“Pada masa yang sama, Kementerian ini juga ingin memaklumkan bahawa proses mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari Hashim sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Usaha SAR udara telah dijalankan semenjak 20 Mei 2023, namun masih tidak berjaya mengesan mangsa,” menurut kenyataan itu.

KLN memaklumkan operasi SAR kini diteruskan melalui darat di kawasan lurah-lurah ais bermula dari 21 Mei 2023.

“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan proses membawa pulang jenazah dan pencarian pendaki Misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) yang masih hilang berjalan dengan lancar.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang pendaki ME 2023 Awang Askandar, 56, meninggal dunia Jumaat lalu ketika dalam misi menawan puncak Everest.

Awang Askandar yang dilaporkan berhadapan masalah kesihatan dan meninggal dunia Kem Empat pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 waktu Malaysia) pada Khamis.

Seorang lagi pendaki misi berkenaan Muhammad Hawari, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang selepas turun dan berehat di Kem Empat setelah berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights