‘Jerry Lewis of Malaya’ – Wahid Satay meninggal dunia

‘Jerry Lewis of Malaya’ – Wahid Satay meninggal dunia

PELAKON dan pelawak veteran terkenal, Wahid Satay menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua pada usia 93 tahun di Singapura, jam 8.15 pagi tadi.

Media Singapura melaporkan, Allahyarham atau nama sebenarnya Abdul Wahid Ahmad sebelum ini dirawat di Hospital Besar Changi kerana jangkitan bakteria pada ibu jari kakinya yang merebak ke bahagian jantung.

Menurut Berita Harian Singapura, pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh cucunya, Mahirah Mohd Yassin.

“Dalam seminggu yang lalu, Tok Wahid memang sudah terlantar di katil, tidak dapat makan seperti biasa dan perlu menggunakan lampin pakai buang. Datuk saya memang mempunyai masalah kencing manis, ginjal dan doktor pun kata ada tanda-tanda kerosakan jantung.

“Ada beberapa permintaan Tok sebelum pemergiannya. Antaranya nak makan sate. Kami belikan juga satu set lengkap sate dan rasa-rasakan pada lidahnya…agar tidak kempunan.

“Kami sekeluarga sebak melihat keadaan Tok. Bagi saya, Tok memang penyayang dan saya memang rapat dengannya,” katanya memetik portal negara jiran itu.

Jenazah dibawa ke Pusara Aman di Singapura sekitar 1 tengah hari tadi.

Wahid dilahirkan di Indragiri, Indonesia dan berhijrah ke Singapura, bermula sebagai pelukis set di Studio Cathay-Keris sekitar East Coast Road pada penghujung 1956.

Sepanjang kerjaya lima dekadnya, Wahid berlakon dalam lebih 30 filem termasuk muncul dalam watak undangan bagi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan Senario XX.

Apabila zaman Cathay-Keris berlalu, beliau yang dikenali dengan julukan ‘Jerry Lewis of Malaya’ (persis pelawak Hollywood, Jerry Lewis) turut mencipta lagu-lagu lucu. Antaranya termasuk Senorita Lembu Tua.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut meluahkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

“Sedih mendapat khabar pemergian Seniman legenda, Abdul Wahid bin Ahmad atau lebih dikenali Wahid Satay pagi ini.

“Saya doakan segala dosa Allahyarham diampuni, dan rohnya ditempatkan di kalangan para solehin,” katanya. – Malaysiapost

Komen