Kerajaan Perak masih kukuh, stabil – Saarani

Kerajaan Perak masih kukuh, stabil – Saarani

KERAJAAN Perpaduan Negeri Perak masih kukuh dan stabil dengan sokongan majoriti daripada keseluruhan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tegas Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menurutnya, ia dibuktikan dengan kehadiran 31 Adun kerajaan yang hadir dalam sidang media hari ini demi menafikan dakwaan kerajaan negeri kini tidak stabil.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan, berkata hanya dua Adun kerajaan tidak hadir iaitu Nga Kor Ming (Kepayang) yang berada di Jepun dan Koo Haai Yen (Keranji).

“Keseluruhan Adun kerajaan Perak seramai 33 orang, tetapi Nga Kor Ming ada di Jepun dan Adun Keranji yang masih dalam perjalanan.

“Ini membuktikan tiada sesiapa pun yang ada keinginan untuk bertukar ke sebelah sana (PN). Apatah lagi kita ada akta anti lompat parti.

“Kerajaan Perak kini lebih kukuh dengan disokong oleh kebersamaan, sifat bertanggungjawab dan kesungguhan menjayakan setiap agenda yang digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau menjawab spekulasi yang timbul ekoran kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak Razman Zakaria kononnya ada wakil rakyat kerajaan yang datang menemuinya, sekaligus memberi gambaran seolah-olah wujud gerakan bagi menjatuhkan kerajaan.

Menurutnya, tanpa memberi sebarang bukti serta asas yang kukuh, kenyataan Ketua Pembangkang Perak itu sengaja dibuat untuk membentuk persepsi kononnya wujud pergeseran dan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

“Untuk itu saya dan rakan Exco dan Adun kerajaan, hari ini sebulat suara menyatakan komitmen untuk terus mendokong kestabilan dalam kerajaan sekaligus menafikan dakwaan kononnya wujud usaha menjatuhkan pentadbiran sedia ada.

“Semalam Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Adun Hulu Kinta) telah mencabar beliau (Razman agar sebut nama Adun yang dikatakan. Kerana untuk menyebabkan kerajaan itu tumbang, Perikatan Nasional (PN) perlu ada empat orang lagi.

“PN ada 26 Adun, kalau dapat ‘mencuri’ empat orang daripada Kerajaan Perpaduan Perak, barulah mereka boleh menumbuhkan kerajaan. Sangat mudah, sebut empat nama sahaja,” katanya.

Saarani berkata, komitmen secara kolektif Adun-Adun kerajaan itu dibuat bukan sahaja atas pertimbangan politik tetapi mengambil kira tuduhan dan persepsi negatif yang sengaja dibuat itu boleh menggugat kepercayaan pelabur sekaligus mengundang risiko kepada perjalanan pembangunan negeri.

“Jika kita nak keluarkan kenyataan perlu ambil kira kesannya kepada ekonomi negeri. Kerana bila digambarkan keadaan negeri yang tidak stabil, ada kemungkinan bertukar kerajaan, tiada pelabur yang akan datang ke Perak.

“Kerap bertukar kerajaan akan menyebabkan pertukaran polisi dan akan mengundang kebimbangan, kekhuatiran dan ketidakyakinan di kalangan pelabur,” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak terutama ketua pembangkang untuk berpolitik secara bertanggungjawab dengan tidak mencetuskan polimik yang tidak mendatangkan manfaat kepada negeri.

“Orang dah meluat..kita baru enam bulan tubuh kerajaan, semua sedang memberi fokus bagaimana menguatkan kerajaan dan meneruskan Pelan Perak Sejahtera 2030. Tetapi dengan kenyataan sedemikian membuatkan orang ramai gundah gulana.

“Saya juga mengajak rakan-rakan parti politik termasuk pembangkang untuk bermuhasabah menyuburkan politik matang dengan memberi idea atau teguran demi kebaikan rakyat dan kemajuan negeri, bukan mencipta persepsi yang mengundang ketidakstabilan,” katanya.

Saarani juga tidak menolak kemungkinan akan membuat laporan polis berhubung perkara itu jika ia memberi gambaran tidak elok dan menggugat keselamatan. – Malaysiapost

Komen