KJ tidak mahu terburu-buru sertai Bersatu
KHAIRY Jamaluddin mengakui beliau memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan tawaran menyertai parti politik.
Bekas pemimpin Umno itu berkata tidak mahu membuat keputusan terburu-buru hanya kerana enam pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.
“Apabila kita ada peluang kedua untuk pilih parti politik, saya tidak ambil keputusan ini dengan ringan. Saya tak mahu buat keputusan hanya kerana PRN semakin hampir.
“Saya mahu pilih dengan rela hati sebab parti itu mewakili nilai saya dan pendirian politik saya,” katanya dalam klip video Keluar Sekejap di laman TikTok, hari ini
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran terbuka Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meminta bekas Ahli Parlimen Rembau itu bersetuju menyertai parti itu sekali gus ditawar menjawat jawatan ahli majlis tertinggi.
Menurut Khairy, keputusan terletak di tangannya dan akan menyatakan sendiri kepada Muhyiddin secara peribadi jika bersetuju menyertai Bersatu.
“Bukan saya kata ‘no’ (tidak) kepada tawaran Muhyiddin, tapi saya nak jelaskan, bahawa ini satu keputusan yang sukar yang perlu dibuat,” katanya.
Khairy yang dipecat Umno Januari lalu turut mengakui menerima tawaran untuk menyertai parti politik lain, tetapi terpulang kepada parti itu untuk mendedahkan jemputan itu kepada umum.
Ditanya pengacara bersamanya, Shahril Hamdan, yang juga digantung keahlian Umno selama enam tahun sama ada beliau akan bertanding dalam PRN enam negeri ini, bekas Menteri Kesihatan itu berkata beliau masih belum membuat keputusan. – Malaysiapost