Minggu Perpaduan semarakkan semangat patriotisme rakyat – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penganjuran Minggu Perpaduan adalah penting untuk menyemarakkan semangat rakyat di negara ini.

Anwar berkata, selain itu ia juga mampu menyebarkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan berkaitan kepelbagaian budaya serta segmen kenegaraan yang menerapkan semangat patriotisme kepada rakyat Malaysia.

Menerusi catatan di laman Facebook, Perdana Menteri memaklumkan beliau menghadiri majlis Sambutan Minggu Perpaduan Negara peringkat kebangsaan di Kuching, semalam.

“Saya kagum dengan pelbagai persembahan disaluti elemen perpaduan yang turut dihayati rakyat jelata kendatipun cuaca panas di Kuching,” katanya.

Perasmian majlis itu, yang bertemakan ‘Perpaduan Dalam Kepelbagaian,’ disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis penuh keharmonian itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Minggu Perpaduan 2023, yang berlangsung dari 20 hingga 28 Mei, turut diadakan di 15 lokasi antaranya Dataran Bertam di Pulau Pinang, Dewan Masyarakat Papar di Sabah, Dataran Tasik Kluang di Johor dan Pusat Rekreasi Pantai Balok, Kuantan di Pahang. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights