Muhyiddin harap rakyat terjemah sokongan kepada PN melalui PRN

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat Selangor akan memberikan sokongan kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, sokongan itu dapat dilihat melalui kehadiran puluhan ribu rakyat pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam malam tadi.

“Malam tadi saya bersama-sama dengan kepimpinan tertinggi PN peringkat kebangsaan dan negeri hadir pada majlis sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri PN.

“Alhamdulillah walaupun Syawal baru sahaja berakhir, saya gembira dan kagum melihat puluhan ribu rakyat negeri Selangor berduyun-duyun hadir bagi menyemarakkan semangat ukhuwah, mengeratkan silaturahim dan persaudaraan bukan sahaja sesama Islam tetapi sesama rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, kehadiran puluhan ribu rakyat yang memenuhi dewan dan khemah menjadi petanda awal sokongan luar biasa rakyat Selangor kepada PN menjelang PRN tidak lama lagi.

“Saya yakin jumlah kehadiran yang luar biasa pada malam ini insya-Allah akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada PN pada PRN nanti.

“Dengan izin Allah kita akan tawan Selangor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang telah kita kuasai sebelum ini,” katanya.

Muhyiddin yakin rakyat di Selangor dan negeri-negeri yang akan berhadapan dengan PRN tidak lama lagi akan membuat pilihan bijak memilih PN yang telah membuktikan komitmen serta keupayaan untuk sentiasa membela nasib rakyat ketika menjadi kerajaan pusat dahulu.

“Tahniah kepada semua ahli parti komponen PN, Bersatu, Pas dan Gerakan khususnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya menganjurkan majlis besar sebegini dengan jayanya.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada seluruh penyokong dan pendokong PN yang hadir memeriahkan majlis malam tadi,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights