Pembangkang tidak minta pertukaran kerajaan di Perak, namun telah bersedia – Razman

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol, Razman Zakaria menjelaskan pihak pembangkang tidak meminta untuk berlaku pertukaran kerajaan, namun telah bersedia jika keadaan itu berlaku.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berkata, bagaimanapun ia sudah pasti akan mengikut lunas undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Perak, berkata pertukaran kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa dan pernah satu penggal sehingga berlaku tiga kali perubahan pentadbiran.

“Kenyataan saya pada beberapa hari yang lepas yang telah tular dan memberikan sedikit kejutan kepada politik di negeri Perak dan merespon kenyataan media Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pagi ini.

“Respon kepada kenyataan Menteri Besar Perak pagi tadi mengenai ada beberapa Adun yang datang pada saya, saya mengesahkan perkara itu.

“Memang menjadi kebiasaan untuk saya dan beberapa Adun tersebut saling bertukar fikiran berbincang mengenai politik semasa di negeri Perak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini seolah-olah ‘risau’ akan keabsahan kerajaan yang ada, sehingga Adun Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mencabar untuk membuktikan pertemuan dengan Adun berkenaan.

“Bukankah kerajaan campuran yang dianggotai Umno dan DAP pada hari ini mempunyai hubungan yang amat erat.

“Kestabilan politik ini perlu diperjelaskan Saarani selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak dan Umno Perak, apakah Umno akan meneruskan kerjasama dengan DAP buat selama-lamanya? Itukah yang dimaksudkan dengan kestabilan politik?” soalnya.

Terdahulu Saarani dalam sidang media hari ini menegaskan Kerajaan Perpaduan Negeri Perak masih kukuh dan stabil dengan sokongan majoriti daripada keseluruhan 33 Adun.

Menurutnya, ia dibuktikan dengan kehadiran 31 Adun kerajaan yang hadir dalam sidang media itu demi menafikan dakwaan kerajaan negeri kini tidak stabil.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan, berkata hanya dua Adun kerajaan tidak hadir iaitu Nga Kor Ming (Kepayang) yang berada di Jepun dan Koo Haai Yen (Keranji). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights