PU Syed kritik adegan berpelukan dalam Anwar: The Untold Story

PU Syed kritik adegan berpelukan dalam Anwar: The Untold Story

DI SEBALIK kejayaan meraih kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya, filem biopik Anwar: The Untold Story tidak dapat lari menerima kritikan mengenai adegan kemesraan suami isteri yang sedang berpelukan.

Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed menerusi hantaran di Instagram memberikan teguran terhadap adegan berpelukan Farid Kamil yang memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Acha Septriasa yang melakonkan watak Datuk Seri Wan Azizah binti Wan Ismail dalam filem berkenaan.

“Nak buat cerita tentang PMX silakan buat. Namun adegan-adegan peluk memeluk seperti ini tak payah la dibuat.. Kecuali jika Farid Kamil berlakon bersama isterinya yang sah,” tegurnya di Instagram.

Mengulas lanjut, PU Syed berkata, pihak produksi perfileman boleh merujuk atau meminta pandangan ahli agama mengenai babak dan skrip yang dibenarkan dalam karya yang dihasilkan.

Katanya, kejayaan filem Mat Kilau yang mencatat rekod kutipan lebih RM100 juta perlu dicontohi kerana tiada langsung babak adegan berpelukan atau kemesraan yang dipaparkan antara pelakon lelaki dan wanita.

“Boleh sahaja jayakan mana-mana adegan tanpa bersentuhan lelaki dan perempuan seperti dalam filem Mat Kilau.

“Saya menyeru, kepada semua sutradara agar setiap filem atau drama yang nak dibuat. Carilah seorang ahli agama yang boleh menegur jika ada babak atau skrip yang luar batasan syarak,” katanya.

Anwar: The Untold Story yang sedang ditayang di pawagam seluruh negara ketika ini menceritakan kisah Anwar yang memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah dihumban keluar dari kerajaan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.- Malaysiapost

Komen