Ramasamy cuba jadikan PAS ‘kambing hitam’ – Takiyuddin

PAS menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa parti itu memecahbelahkan rakyat, sebagai satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas kegagalan kerajaan sedia ada.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan Ramasamy bertajuk – ‘Ramasamy: K’jaan perlu strategi lain bagi tangani PAS – seperti disiarkan baru-baru ini agak melucukan, dangkal, malah cacat daripada banyak segi.

“Selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas kegagalan itu.

“Tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menunaikan janji-janji yang pernah dibuat sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat.

“Ia tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan PAS atau kecenderungan orang Melayu menyokong PAS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin memuji kenyataan yang disifatkannya berani oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan berhubung banyak isu.

Katanya, ia adalah contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangani masalah dan kecamuk yang dihadapi oleh kerajaan secara dalaman.

Justeru, Takiyuddin menggesa Ramasamy mencontohi Hassan dan tidak menyorok masalah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.

“Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum merdeka lagi, PAS amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama.

“Sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk pun sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat PAS terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum.

“Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan,” katanya.

Menurut Takiyuddin, keadaan itu berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan, tetapi juga merupakan manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak, termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama.

“Tanpa perlu berhujah terlalu panjang, kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat itu.

“Kenyataan beliau yang seolah-olah menisbahkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela, malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum.

“Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan,” katanya.

Malah, Takiyuddin mendakwa Ramasamy tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini.

“Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, Ramasamy menyatakan kerajaan perlu menggunakan strategi lain untuk mencabar pendekatan agama PAS yang memecahbelahkan rakyat.

Ramasamy mendakwa, pendekatan PAS yang memecahbelahkan adalah satu kutukan kepada keharmonian negara dan perpaduan negara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights