‘Razman jangan ganggu Saarani’ – Guan Eng
PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menyifatkan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyangkal keras dakwaan kerajaan negeri pimpinannya bakal jatuh sebagai tindakan yang tepat.
Guan Eng berkata, ini kerana dakwaan Pesurujaya PAS Perak, Razman Zakaria itu seperti mengulangi kisah pembohongannya sebelum ini.
“Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad bertindak tepat dalam menolak dakwaan Razman baru-baru ini bertemu dengan beberapa Adun Kerajaan Perpaduan untuk menggulingkan Kerajaan Negeri Perak sedia ada.
“Razman mempunyai sejarah terbukti sebagai pembohong berulang yang suka mengada-adakan cerita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan berkata, keraguan terhadap dakwaan Razman itu sememangnya boleh dijangka.
Ini kerana katanya, Razman sebelum ini pernah diperintahkan mahkamah untuk membayar saman atas kesalahan menfitnah selain memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keterlanjuran kata-katanya.
“Sebelum ini, Razman bukan sahaja menarik balik kenyataannya tanpa syarat tetapi turut memohon maaf kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas fitnah jahat bahawa Anwar menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan seorang komunis.
“Razman telah diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh untuk membayar RM200,000 sebagai ganti rugi fitnah kepada bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin pada 2017.
“Tahun lepas Razman diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membayar RM250,000 sebagai ganti rugi dan mengeluarkan permohonan maaf awam atas posting fitnah pelampau terhadap saya,” katanya.
Guan Eng turut menyatakan kekesalannya kerana Razman membuat dakwaan tidak berasas dan hanya mahu mengganggu gugat keharmonian Kerajaan Negeri Perak.
“Dalam kes ini Razman terdorong untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri Perak sedia ada demi kepentingan politik sendiri, dan tidak dapat mengenal pasti Adun daripada Kerajaan Perpaduan yang pernah ditemuinya.
“Selain itu, undang-undang anti-lompat parti yang berkuat kuasa di Perak akan menutup sebarang ruang untuk menjatuhkan kerajaan.
“Saarani dan Kerajaan Perak tidak perlu terganggu oleh Razman daripada kerja mereka dalam meningkatkan kehidupan rakyat dan membawa pembangunan.
“Tidak ada gunanya membuang masa dengan mereka yang mengada-adakan cerita melalui pembohongan dan cakap kosong,” katanya.
Pagi tadi, Saarani bersama 31 Adun Perak telah mengadakan sidang media menafikan kerajaan negeri hilang sokongan majoriti seperti mana yang didakwa Razman. – Malaysiapost