CHONG Sin Woon wajar bertanya kepada Presidennya apa pendirian sebenar MCA sebelum mempersoal tindakan Presiden Umno, bidas Datuk Lokman Noor Adam.
Pengarah Komunikasi Umno itu berkata demikian sebagai respon kenyataan Setiausaha Agung MCA tersebut apabila menyelar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan gesaannya agar ahli Umno memberi undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelasnya, katanya, Sin Woon mungkin terlepas pandang bahawa Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong telah menyatakan pendirian untuk menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Di kala Presiden MCA, melaungkan slogan “Dulu Lawan, Sekarang Kawan”, Setiausaha Agung MCA buat kejutan hari ini dengan menyelar Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa ahli Umno untuk memberi undi kepada calon PH yang kini menjadi rakan BN dalam Kerajaan Perpaduan.
“Untuk makluman Sin Woon yang mungkin menyangka Presiden MCA masih bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerana SD yang beliau berikan kepada Muhyiddin.
“Presiden kamu telah lama menyedari kesilapannya melanggar Akujanji yang beliau tandatangani sebelum menjadi Calon BN untuk PRU15. Justeru, sokongan tersebut telah dibatalkan November tahun lalu.
“Malah, ketika undi percaya dijalankan terhadap Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri, Presiden kamu dan MP MCA, Wee Jeck Seng juga memberi sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lokman turut menegaskan, Presiden MCA bukan sahaja telah menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan secara terang-terangan ketika Konvensyen Kerajaan Perpaduan, 14 Mei lalu, malah menyeru ahli BN dan komponen Kerajaan Perpaduan untuk mengenepikan persengketaan lalu melalui pantunnya, “Dulu Lawan, Sekarang Kawan”.
Jelasnya, sebagai Pengerusi BN, Ahmad Zahid berhak membuat sebarang kenyataan bagi pihak BN, namun kenyataan Sin Woon adalah pelik dan tiada sebab munasabah untuk menyelar tindakan itu.
“Namun, agak pelik apabila Setiausaha Agung MCA sendiri seolah-olah tidak menjiwai kehendak Presiden MCA sendiri yang mahu melihat ahli-ahli Parti Komponen Kerajaan Perpaduan berbaik dan saling mempercayai satu sama lain.
“Setiausaha Agung MCA tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk menyelar Presiden Umno yang mengesa ahli Umno sendiri untuk mengundi calon PH.
“PRN di enam negeri mungkin hanya akan menyaksikan dua parti utama akan bertanding mewakili Kerajaan Perpaduan iaitu BN dan PH. Pembahagian kerusi pasti kebanyakannya antara BN dan PH,” katanya.
Lokman berkata, selaku Presiden Umno, sememangnya tugas Ahmad Zahid untuk memastikan ahli Umno menterjemah kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dengan memberi sokongan dan undi kepada calon-calon PH.
“Adakah kenyataan Sin Woon mengambarkan seolah-olah MCA akan bertanding menggunakan lambang partinya sendiri? Pendirian MCA perlu dijelaskan.
“Sepatutnya selaku Setiausaha Agung MCA, beliau memainkan peranan memastikan ahli-ahli MCA juga menjiwai aspirasi Presiden MCA dengan mengundi calon-calon dari Kerajaan Perpaduan.
“Tumpuan juga seharusnya diberi dalam memastikan supaya ahli MCA sendiri boleh mengundi calon BN,” katanya. – Malaysiapost