Umno nafi ‘hilangkan’ potret bekas pemimpin parti di WTCKL

UMNO menafikan potret bekas pemimpin parti itu ‘dihilangkan’ ketika Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), minggu lalu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Dewan Merdeka adalah milik Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang mana penyewaannya terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menganjurkan apa juga program.

Beliau berkata, di dalam Dewan Merdeka tidak ada sebarang potret wajah pemimpin ataupun hiasan yang bersifat kekal kerana semua bergantung kepada cita rasa dan kehendak penganjur yang menjalankan majlis.

“Kalau dalam konteks Perhimpunan Agung Umno, Umno akan menghiaskan atau meminta WTC untuk menghiaskan Dewan Merdeka dengan bendera Umno termasuklah potret pemimpin Umno lampau,” katanya menerusi video di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, pelbagai pihak termasuk bekas pemimpin kanan Umno dilihat cuba mencetuskan persepsi seolah-olah sewaktu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpadaun, Dewan Merdeka menutup atau mengalihkan gambar pimpinan Umno yang lampau.

“Tiada istilah hendak tutup atau mengalihkan mana-mana potret pemimpin kerana memangnya tidak ada sebarang potret ataupun hiasan kekal (di Dewan Merdeka) semuanya bergantung kepada cita rasa dan kehendak penganjur yang mahu menjalankan majlis.

“Mungkin ada pemimpin-pemimpin yang sudah lama tak masuk Dewan Merdeka mereka lupa agaknya,” katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, penjelasan itu penting untuk menutup segala ‘mulut’ yang sengaja mahu mencetuskan keraguan dan mempunyai niat jahat untuk memfitnah kepimpinan Umno.

“Ia seolah-oleh (mahu mengambarkan) mereka (pemimpin Umno terdahulu) tidak dihargai ataupun kita melupakan jasa pemimpin yang lampau,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di WTCKL, minggu lalu sebagai janggal.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, satu penjelasan kepada akar umbi parti mengenai hubungan yang wujud dalam kerajaan yang turut disertai Umno perlu diberikan agar mereka memahami situasi sebenar.

“Tetapi saya lihat sendiri ada beberapa perkara yang agak janggal apabila ia diadakan di Dewan Merdeka, iaitu rumah Umno sendiri. Apabila gambar-gambar bekas pemimpin kita (Umno) yang telah banyak berkorban untuk perjuangan parti ‘dihilangkan’ dalam Dewan Merdeka semasa konvensyen, saya rasa ia tidak kena,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights