Umno sokong DAP kerana mereka rakan dalam Kerajaan Perpaduan
BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai niat untuk melemahkan Umno dan menawan kerajaan, kata Datuk Seri Azalina Othman.
Ketua Penerangan Umno itu turut beranggapan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ibarat seperti ‘meludah ke langit’.
“Kalau kita turun ke bawah dan mereka kata bahawa kita menyokong DAP, jawapan kita ialah kita perlu memberikan sokongan kepada rakan-rakan Kerajaan Perpaduan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sahaja.
“Sebenarnya, mereka (PN) daripada mula telah berniat untuk bergerak bersama DAP selepas dipecat. Apabila mereka bergabung dan dipimpin oleh Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), mereka juga memberi tawaran dan menarik beberapa kepimpinan dalam Umno,” katanya seperti dilapor Umno Online
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah sempena Pemukiman Penerangan Umno di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), semalam.
Dalam pada itu, Azalina berkata, Langkah Sheraton berlaku apabila Muhyiddin tidak mahu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.
“Tan Sri Muhyiddin guna alasan tidak mahu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri maka berlaku ‘Sheraton Move’. Perlembagaan kita pada ketika itu tidak menghalang perbuatan melompat parti dan ianya sah.
“Bezanya ialah bila tawaran-tawaran diberikan. Sekiranya diberi pada pertengahan jalan, sudah semestinya mereka mahu merampas takhta kerajaan. Bukanlah begitu mudah kerana dalam masa yang sama kita telah meterai perjanjian bersama PAS membentuk Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Dalam masa sama, Azalina berkata, Bersatu seharusnya mengambil keseluruhan blok parti sekiranya ingin bersama dengan Umno
“Sepatutnya hubungan kita jadi keutamaan blok. Kalau Bersatu mahukan kita, mereka kena ambil secara menyeluruh. Tetapi tidak, mereka ambil satu-persatu pemimpin kita.
“Berapa banyak bantuan telah diberikan oleh parti kemudian ianya diragut. Bersatu sebenarnya derhaka kepada Umno. Kalau mereka mahukan kita, mereka kena ambil semuanya,” katanya.
Azalina berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan sebagai satu kumpulan dan kerusi yang dimenangi merupakan hak parti.
“Hari ini kita bergerak sebagai satu kumpulan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan. Kita bukan bertanding atas diri sendiri tetapi atas tiket parti.
“Nawaitu mereka daripada mula sememangnya mahu melemahkan Umno dan menawan kerajaan,” katanya lagi.
Semalam, Muhyiddin menyifatkan gesaan supaya ahli Umno menyokong calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai sesuatu perkara yang luar biasa.
Beliau berkata, gesaan itu turut disifatkan sangat janggal kerana bertentangan dengan prinsip perjuangan Umno.
“Agak luar biasa, saya pun pernah berada di dalam Umno itu hampir 40 tahun. Ini kali pertama saya dengar pemimpin Umno minta ahlinya sokong DAP.
“Terserah kepada ahli mereka yang berpegang kepada perjuangan parti jika hendak mendengar gesaan tersebut, ia bukan parti saya lagi. Tetapi ia adalah satu arahan yang agak janggal,” katanya. – Malaysiapost