AKSB dituntut perjelas pemberian bonus RM10,000 kepada lembaga pengarah

AKSB dituntut perjelas pemberian bonus RM10,000 kepada lembaga pengarah

AIR Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dituntut memberi penjelasan berhubung pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan PKR Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, berkata sekiranya perkara itu benar, ganjaran yang diperolehi Ahli Lembaga Pengarah itu didakwa tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

Malah katanya, bekas Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini mengakui kaedah tadbir urus AJSB menjadi faktor utama masalah air di Kelantan tidak selesai sehingga kini.

“Ini dikhuatiri boleh merencatkan proses Pusat membantu kerajaan negeri membaiki perkhidmatan air kiranya tadbir urus dan tata kelola yang baik tidak diamalkan secara tuntas oleh pihak pengurusan mereka.

“Ini termasuk soal pemberian tender secara runding terus yang dikatakan ada berlaku dan apa jua keputusan yang tidak meletakkan kepentingan awam sebagai asasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menawarkan penyelesaian masalah air di Kelantan, selain komited memastikan isu itu dapat diselesaikan dengan kerjasama baik kerajaan negeri.

Beliau berkata, ini kerana isu air di Kelantan begitu kritikal berbanding negeri-negeri lain.

“Penstrukturan semula AKSB dibuat pada Disember 2007 dengan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) sebagai syarikat induk kepada AKSB dan beberapa anak syarikat yang lain. Manakala KUM pula merupakan anak syarikat kepada PMBK.

“Di kala ini, AKSB mengendalikan 28 buah loji pembersihan air dan berupaya menghasilkan air sebanyak 230 juta liter air setiap hari untuk pelbagai kegunaan penduduk Kelantan,” katanya,

Beliau berkata, Kerajaan Negeri perlukan langkah drastik dalam memastikan kerjasama dibina antara Pusat dan negeri dalam pembekalan air bersih ini di tahap terbaik. Ini demi memastikan setiap sen yang dilaburkan betul betul manfaatnya untuk rakyat Kelantan.

“Tanpa langkah yang proaktif dan berkesan, masalah bekalan air ini akan terus menjadi igauan buruk rakyat yang saban hari berhadapan dengan masalah ketiadaan air bersih.

“.. mahupun kualiti yang teruk dan tidak selayaknya diguna rakyat sebuah negara yang sudah begitu lama merdeka,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil pendirian untuk menangani masalah berkaitan bekalan air untuk pengguna di Kelantan dan ia perlu diselesaikan tanpa mengira fahaman politik.

Untuk itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan sedia mencari dana bagi menyelesaikan masalah bekalan air di negeri ini yang sehingga kini tidak selesai.

Beliau berkata, masalah itu akan diselesaikan menerusi kaedah yang betul dengan kerjasama penuh kerajaan negeri. – Malaysiapost

Komen