Generasi muda penyokong Umno tiada masalah undi DAP – Hairi

PENYOKONG Umno terutama generasi muda tiada masalah untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Naib Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata ini kerana generasi muda kini celik politik dan tidak lagi terikat dengan pelbagai sentimen negatif dimainkan generasi terdahulu.

Katanya, generasi muda termasuk penyokong Umno kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PH yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP). Ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini satu dinamik baharu.

“Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik. Jadi biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya untuk kukuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Sentimen dimainkan generasi terdahulu seperti Melayu rasis, Cina rasis itu sudah hilang selepas kita bekerjasama. Kini masing-masing memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor ditemui pada Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Johor Bahru.

Mengulas lanjut Mohd Hairi berkata, parti pembangkang juga tidak perlu menjadikan isu tersebut sebagai isu politik.

“Kini semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dulu Bersatu dan PAS sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu Umno tidak cakap apa-apa.

“Hari ini, mereka cakap tentang Umno dan DAP pula, sedangkan dulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama,” katanya.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ahli Umno perlu sedia mentaati arahan parti termasuk mengundi calon DAP yang mewakili PH.

Ahmad berkata, ahli parti perlu mengetepikan sentimen dan sedia memberi undi kepada rakan kongsi untuk meneruskan kestabilan kerajaan sedia ada. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights