Kalimah Allah: Penjelasan Anwar di Dewan Rakyat sebagai ‘jawapan politik’ 

PAS mendakwa penjelasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu penggunaan kalimah Allah sebagai ‘jawapan politik’. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sendiri bercakap kepadanya ketika terserempak di Dewan Rakyat, hari ini. 

Menurut Ahli Parlimen Kota Bharu itu, beliau telah bertanya mengenai status penarikan rayuan kerajaan mengenai isu kalimah Allah dan berkata, Idrus perlu menunggu ‘jawapan politik’ dari kerajaan. 

“Kita tidak dengar kenyataan Peguam Negara lagi, itu kita serah kepada Peguam Negara menjawab perkara ini. Tetapi, saya kebetulan tadi keluar dari Dewan, saya berjumpa dengan Peguam Negara. 

“Ini kenyataan saya dan saya tanya, macam mana Tan Sri? (penjelasan berhubung penarikan rayuan). Dia (Idrus) kata, kita dengarlah jawapan politik. Ini apa yang keluar daripada mulut Peguam Negara.

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini. Saya ada saksi pun yang keluar bersama saya tadi. Dia (Idris) kata datang dengar jawapan politik,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Anwar menjelaskan, cadangan bagi memperkemas peraturan berhubung penggunaan kalimah Allah akan dibentang pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada Julai ini.

Katanya, kerajaan juga akan merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bagi tujuan itu.

Anwar turut menyangkal dakwaan bahawa keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam kes kalimah ‘Allah’ di mahkamah tidak merujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Pada Mac 2021, Mahkamah Tinggi melalui keputusannya menyatakan bahawa wanita dari Sarawak, Jill Ireland, boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi tujuan pendidikan agama dalam bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, bahasa Melanau.

Minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk menghentikan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights