Pemilihan Pulau Pinang tuan rumah tilawah tiada kaitan politik

TIADA sebarang kaitan dan unsur politik susulan Pulau Pinang dipilih tuan rumah majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, keputusan untuk memilih negeri itu bagi menjayakan majlis tersebut telah dilaksanakan tahun lalu iaitu sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam konteks ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memilih Pulau Pinang dan kerajaan negeri bersetuju menerima jemputan Kerajaan Pusat dan pihak kami berharap majlis ini akan berjalan dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas merasmikan majlis pra pelancaran majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H bersamaan 2023 di Bukit Jambul, Pulau Pinang, hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian susulan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah berkaitan dengan soal politik.

Untuk rekod, kali terakhir Pulau Pinang menjadi tuan rumah majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan adalah pada 2002.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijadual bermula pada 11 hingga 16 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun.

“Acara berprestij tahun ini dijangka melibatkan penyertaan 108 peserta daripada seluruh negeri berusia 10 hingga 25 tahun.

“Secara umumnya, setiap negeri diwakili lapan peserta iaitu dua peserta dalam pertandingan tilawah al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan hafazan al-Quran,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights