RAKYAT Selangor yang menyokong konsert Coldplay, bukan kerana mereka menyokong gerakan ‘pelangi’ sebaliknya cenderung dengan muzik disampaikan kumpulan rock popular Britain itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rakyat Selangor yang matang dan metropolitan sangat faham mengenai budaya masyarakat di negara ini.
Susulan itu beliau bersetuju dengan pandangan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menggesa PAS berhenti menekan kerajaan untuk membatalkan konsert jelajah tersebut.
“Saya setuju dengar pandangan sesetengah pemimpin terutama KJ (Khairy Jamaluddin) dalam hal ini.
“Bagi yang minat (Coldplay), mungkin mesej yang ada dalam muzik silakan pergi untuk bersama meraikan lagu dan irama Coldplay,” katanya menerusi video dimuat naik di akaun Twitter Kami Keadilan semalam.
Amirudin menambah, undang-undang sivil dan syariah di Selangor sememangnya tidak menerima budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Berikutan itu beliau mengingatkan penganjur dan Coldplay serta artis lain yang ada elemen tersebut agar jangan mempamerkannya ketika mengadakan konsert di Malaysia.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS menggesa kerajaan membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan pada November ini.
Mereka mendakwa kehadiran kumpulan itu ke Malaysia seolah-olah kerajaan menggalakkan budaya menyeleweng dan hedonisme.
Ini kerana dalam konsert di London sebelum ini, vokalis Coldplay, Chris Martin dirakam mengangkat bendera dengan jalur pelangi yang melambangkan LGBT. – Malaysiapost