RCI siasat buku Tommy Thomas belum ditubuh – Azalina

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan Tan Sri Tommy Thomas, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ belum lagi ditubuhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Ser Azalina Othman Said, berkata kerajaan pada 11 Januari lalu telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI berkenaan untuk meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.

“Perkara ini dalam perincian dan tindakan lanjut oleh pihak BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang), JPM (Jabatan Perdana Menteri) sebelum diangkat ke Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).

Buku tulisan Thomas yang diterbitkan pada Januari 2021 mengundang kritikan beberapa pihak, termasuk Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan beberapa laporan polis dibuat mengenainya.

Antara lain, Thomas mendakwa dalam bukunya bahawa beliau mengadakan perbincangan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kedua-duanya dalam kerajaan, dalam melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Media sebelum ini, melaporkan syor terhadap dakwaan dalam buku ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang kini didedahkan kepada awam apabila Jemaah Menteri terdahulu menyahklasifikasikan hasil siasatan itu pada 13 Oktober tahun lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights