ALASAN sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda bagi merasionalkan pemberian saguhati Aidilfitri sebanyak RM10,000 kepada setiap Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengundang kecaman netizen di media sosial.
Alasan itu diberikan oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Kamal Mohamad dalam hantaran di Facebook miliknya yang berkata, pemberian tersebut sebagai menghargai kerja-kerja memerah minda dalam memberikan pandangan dan keputusan-keputusan dasar kepada pihak pengurusan.
“Lagi pula sebahagian besar lantikan ahli lembaga pengarah iaitu tujuh daripada sembilan orang adalah anggota yang profesional dalam aspek pengurusan dan Teknikal air yang tiada apa-apa jawatan dalam parti,” katanya di Facebook, hari ini.
Lantaran itu, netizen membanjiri ruangan komen Facebook Mohd Kamal dengan mempersendakan alasan itu yang tidak berjaya menyelesaikan masalah berlarutan air di Kelantan.
“Isu air, kualiti dan kuantiti air di Kelantan amat bermasalah. Tak dinafikan pun negeri lain (ahli lembaga pengarah) diberi bonus tapi tidaklah isu air besar macam di Kelantan.
“Beli Mercedes pun ada dalil, inikan pula sagu hati Raya.
“Perah otak pun keluar air Milo. Kalau tak perah, mungkin keluar air kopi o kaw.
“Perah minda untuk gagal menyelesaikan masalah,” demikian kata netizen.
Pada masa sama, membalas komen netizen, Mohd Kamal menyifatkan pengkritik isu tersebut sebagai tidak tahu prosedur dan jahil maklumat.
Katanya, pemberian sagu hati kepada ahli lembaga pengarah setahun sekali adalah prosedur biasa.
“Awak kena tengok usaha dan progress yang AKSB sudah buat dan sedang buat.
“… sebab tak tahu prosedur dan jahil maklumat,” katanya membalas salah satu kritikan netizen.
Sejak semalam, dokumen berstatus ‘sulit’ mengenai pemberian sagu hati raya kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB sebanyak RM10,000 tular di media sosial.
Mengikut laman web rasmi AKSB, terdapat sembilan ahli lembaga pengarah syarikat itu termasuk Dr Mohamad Hadzri Yaacob.
Dalam notis itu juga dimaklumkan mengenai pemberian saguhati kepada semua kakitangan AKSB bernilai RM200 manakala setiausaha syarikat mendapat RM2,000. – Malaysiapost