PAS membidas pihak yang meremehkan parti itu seolah-olahnya tidak peduli masalah rakyat di negeri yang diperintahnya seperti isu air, barangan keperluan dan rumah.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata ia satu anggapan yang tidak matang tanpa mengambil kira kerajaan PAS juga gigih berusaha mengurus keperluan kehidupan rakyat.
Akan tetapi, katanya, PAS menghadapi banyak sekatan oleh kerajaan Pusat, bermula dengan Kelantan sejak zaman Perdana Menteri sekarang menjadi Menteri Kewangan sehingga kini.
Dakwanya, urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian, dan prinsip demokrasi tidak dihormati.
“Royalti petroleum tidak dinafikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi dinafikan kepada negeri yang diperintah oleh PAS. Adakah kerana prinsip Islam yang dipegang oleh PAS?
“Kini, penafian hak ini diikuti pula oleh negeri Terengganu, Kedah, dan Perlis yang dilengah-lengahkan dengan berbagai-bagai dalih bukannya dalil.
“PAS dapat membuktikan prinsip integriti dan tadbir urus yang beramanah walaupun dengan sumber kewangan yang terhad,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS yang dimuat naik di Facebooknya.
Abdul Hadi berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) pernah memerintah Kelantan pada tahun 1978–1990 ketika mereka turut menjadi kerajaan Pusat.
Malah tambahnya, Umno-BN lebih lama memerintah Terengganu dan Kedah pada masa semuanya memiliki kemudahan kewangan.
“Mengapa masalah itu tidak diselesaikan dan terus berkekalan? Apabila PAS mengambil alih pentadbiran, PAS diperlakukan dengan begitu banyak sekatan atau birokrasi dilengah-lengahkan. Mereka tidak pula melakukan sedemikian kepada Singapura ketika berada dalam Malaysia dahulu dan terkini kepada Pulau Pinang.
“PAS tidak lupa, kerana kami bukan Melayu yang mudah lupa, apabila PAS mula bertindak pada 1990 dengan membatalkan premis perjudian dan penjualan arak dibenar kepada orang bukan Islam sahaja. Dalam keadaan lesennya di bawah Kementerian Kewangan yang menterinya ialah Perdana Menteri terkini yang berslogankan madani, tetapi beliau tidak membantu dan tidak bertindak sama mengikut Islam.
“DAP pula lantang menentang PAS, walaupun langkah dan tindakan dilakukan PAS berkait dengan penganut Islam sahaja tanpa gangguan terhadap orang bukan Islam,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu turut memberi contoh, apabila PAS berta‘awun dengan Umno mencadangkan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 bagi meminda hukuman sebatan kepada hukum Islam yang mendidik, bukan sebatan yang menyeksa mengikut undang-undang Barat.
Tiba-tiba, katanya, usaha itu mendapat tentangan daripada sebahagian Umno, DAP, dan rakan-rakannya daripada PKR, PAN, dan lain-lain.
“Maka sangat wajar jika Umno kini bersekongkol dengan DAP membelakangi prinsip perjuangannya,” katanya lagi.
Susulan itu beliau menegaskan, janganlah takut kepada ‘Gelombang Hijau’ yang bersifat menyelamat, bukan berpunca daripada sifat khianat dan dendam.
“Janganlah berfahaman salah dan bodoh; seolah-olah apabila Islam mentadbir, maka hilanglah segala jalan raya, elektrik, air, dan perumahan kerana menganggap Islam itu semata-mata menyentuh hal akhirat sahaja,” katanya. – Malaysiapost