Sesi persekolahan Januari bermula 2026
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan memulakan semula takwim sesi persekolahan pada Januari bermula 2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.
“KPM akan melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalander akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara opitimum khususnya tempoh pembelajaran 32 hingga 36 minggu yang diperlukan untuk menyelesaikan keseluruhan korikulum persekolahan.
“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) mengenai bila persekolahan akan kembali bermula pada Januari.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.
“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.
“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya.
Fadhlina berkata, KPM meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan.
“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun.
“Selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya.
Bagi tujuan itu, katanya, KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.
Sebelum ini, KPM memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan. – Malaysiapost