PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali yang dihukum penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya kanak-kanak Sindrom Down dikenali sebagai Bella, hari ini gagal sekali lagi dalam permohonannya supaya dibebaskan dengan ikat jamin.
Pada 3 Mei lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi yang menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Bainun, memerintahkannya menjalani hukuman serta-merta di Penjara Kajang selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara rayuannya didengar dan diputuskan Mahkamah Tinggi.
Siti Bainun kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi
untuk dibebaskan sementara rayuan diputuskan.
Hakim Datuk Ahmad Bache hari ini turut menolak permohonan itu selepas memutuskan tiada keadaan khas atau luar biasa untuk mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan.
Hakim itu ketika membaca penghakimannya, berkata Siti Bainun melalui afidavit sokongan menyatakan mempunyai masalah kesihatan seperti asma, hempedu, dan gerd (gastrik), tetapi tiada laporan pakar yang dikemukakan wanita itu sedangkan beban pembuktian terletak kepadanya.
Jelas Hakim Ahmad, mahkamah hanya dibekalkan laporan perubatan bertarikh 6 Disemberi 2022; surat kemasukan hospital (bertarikh 28 November 2022) dan gambar hidung serta bibir yang tidak dapat membantu mahkamah.
“Sebaliknya, pendakwaan memfailkan afidavit daripada Pegawai Perubatan Klinik Penjara Wanita Kajang, Dr S Sunita yang menyatakan tertuduh selaku pemohon adalah stabil, tidak mengalami komplikasi kesihatan dan tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.
“Malah doktor itu menyatakan, pihak penjara mempunyai kemudahan dan akses yang mencukupi untuk merawat pemohon.
“Hujahan pemohon di mana dia terpaksa menanggung ibu sakit, menjaga seorang kanak-kanak dan bergiat aktif dalam kerja amal bukanlah suatu keadaan khas yang mewajarkanya permohonan berkenaan.
“Jika permohonan ini dibenarkan beliau akan terus bergiat cergas dan mungkin melakukan kesalahan sebegini lagi kerana pemohon mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan,” katanya.
Siti Bainun yang kelihatan susut berat badan sejak menjalani hukuman penjara, didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di antara Februari dan Jun 2021.
Selain hukuman penjara, Mahkamah Sesyen turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin beserta cagaran RM5,000.
Dia juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Dalam prosiding hari ini, wanita itu diwakili peguam Ahmad Faiz Munawar.
dan Mohammad Farhan Maaruf, manakala Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias bertindak bagi pendakwaan. – Malaysiapost