Tarik rayuan kes kalimah Allah elak mahkamah bercanggah keputusan Majlis Raja-Raja Melayu – PM

DATUK Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu penggunaan kalimah Allah bagi mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan apa yang diputuskan Majlis Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri berkata, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, malah ia juga selaras pandangan serta nasihat Peguam Negara.

“Peguam negara berpendapat rayuan (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi) bertentangan dengan (keputusan berkaitan kalimah Allah yang dibuat) Majlis Raja-Raja Melayu. Peguam Negara (juga berpendapat) kes lemah kerana peraturan dibuat KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Justeru, keputusan dibuat atas pandangan untuk perkemas. (Jika) kita buat (teruskan rayuan) kes (akan) bangkit lagi (di mahkamah kerana kes lemah).

“(Jadi) kita tamatkan dengan pinda supaya tak ada kes lagi. Ini jelas satu kekuatan, apa (yang) lemahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Sementara itu, Anwar berkata usul memperkemaskan peraturan melibatkan kes penggunaan kalimah Allah akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Julai ini.

Beliau berkata, perbincangan itu dilakukan bagi memperkemaskan beberapa peraturan tertentu supaya keputusan berhubung kes penggunaan kalimah Allah dapat dimuktamadkan.

Beliau berkata, segala langkah itu bagi memperkemaskan apa-apa sahaja kekeliruan yang mendatang pada masa hadapan.

“Sekarang ialah melihat keseluruhannya semua peraturan sama ada Akta Mesin Cetak, arahan KDN, keputusan jemaah menteri yang lalu, sekiranya menimbulkan kekeliruan jadi apa yang kita lakukan sekarang memperkemaskan dan saya kemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong yang kemudian baginda perkenankan,” katanya.

Anwar sebelum ini mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh dan bersepadu.

KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights