4 Ahli Parlimen pembangkang antara 12 anggota baharu PAC

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC)  melantik 12 Ahli Parlimen sebagai anggota yang baharu bagi Penggal Parlimen ke-15.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, lantikan tersebut melibatkan lapan Ahli Parlimen kerajaan dan empat pembangkang.

Beliau berkata, pemilihan 12 Ahli Parlimen itu dibuat selepas Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik pengerusi jawatankuasa itu dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai naib pengerusi bulan lalu.

“Saya ucapkan syabas dan mereka membawa satu tanggungjawab berat, maka bantulah mereka,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari yang juga Pengerusi Jawankuasa Pemilih itu berkata, mereka yang baru dilantik ialah Syahredzan Johan (PH-Bangi), Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan), Datuk Seri Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin), Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju).

Selain itu Dr Richard Rapu (GPS-Betong), Azli Yusof (PH-Shah Alam), Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik), Datuk Ali Biju (PN-Saratok) dan Dr Halimah Ali (PN-Kapar).

PAC ialah Jawatankuasa Parlimen yang dibentuk untuk meneliti laporan daripada Ketua Audit Negara dan meneliti kewangan kerajaan serta wang yang diperuntukkan oleh Parlimen untuk perbelanjaan awam.

Jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memanggil menteri, orang awam, penjawat awam dan pegawai lain ke jawatankuasa itu untuk disoal siasat, selain membuat susulan terhadap penemuan audit awam. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights