Abdul Hadi Awang sering putar belit tindakan kerajaan

AHLI Parlimen Shah Alam Azli Yusof menyifatkan dakwaan mengatakan Kerajaan Perpaduan tidak memberi bantuan kepada negeri-negeri yang diperintah PAS, sebagai tidak adil.

Menurutnya, dakwaan itu juga menafikan tindakan dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selama ini, yang tetap menunaikan komitmen kerajaan pusat membantu termasuk menambah peruntukan kepada negeri-negeri pembangkang.

Beliau membidas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sengaja sering memutar belitkan setiap tindakan kerajaan termasuk menuduh kerajaan melengah-lengahkan pemberian royalti petroleum kepada negeri pembangkang.

“Kalau setakat hanya pandai sebut sahaja, itu adalah tidak adil kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang begitu komited untuk membantu negeri dikuasai PAS.

“Kita boleh lihat secara terperinci adakah dakwaan (Hadi) itu benar ataupun peruntukan itu diberikan tetapi melalui kaedah yang lain,” katanya dipetik Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Abdul Hadi menerusi siri Minda Presiden Pas semalam, yang mendakwa negeri di bawah pentadbiran parti itu berdepan banyak sekatan apabila urusan kewangan yang wajib mengikut perlembagaan, perjanjian dan prinsip demokrasi tidak dihormati kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa bahawa negeri ditadbir Pas iaitu Terengganu, Kedah dan Perlis dinafikan untuk menerima royalti petroleum berbanding Sabah dan Sarawak, apabila pemberian dilengah-lengahkan dengan pelbagai dalih.

Azli yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor menegaskan, sebelum ini kerajaan sudah pun mengumumkan bahawa sebahagian peruntukan daripada wang ihsan Kelantan dan Terengganu akan disalurkan secara langsung kepada rakyat di kedua-dua negeri itu.

Sebagai contoh, Azli menjelaskan, situasi banjir hujung tahun lalu, kerajaan pusat telah memberi peruntukan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

“Kalau kita lihat baru-baru ini, bantuan banjir itu tidak dilengahkan pun, malah bantuan itu cepat turun ke negeri yang terkesan termasuk ke Kelantan dan Terengganu.

“Jadi, tiada sebab dakwaan-dakwaan yang mengatakan (peruntukan) dilewatkan tapi sekiranya peruntukan itu memang dalam proses tertentu maknanya kena lihat dahulu dan berlaku adillah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights