ENAM negeri dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak meskipun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak sama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau turut menjangka hari penamaan calon bagi enam negeri tersebut diadakan pada tarikh sama.
“Saya difahamkan hari mengundi akan diadakan pada tarikh sama di semua enam negeri walaupun pembubarannya berbeza-beza. Selain tarikh pemilihan, hari penamaan calon juga dijangka ditetapkan pada waktu yang sama.
“Tetapi pihak media perlu membuat pengesahan dengan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya),” katanya kepada media di Parlimen, hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, terdapat DUN dalam kalangan enam negeri tersebut terbubar secara automatik pada Jun ini berdasarkan kepada tempoh lima tahun yang ditetapkan dalam perlembagaan.
Enam negeri yang tidak membubarkan DUN selari dengan pembubaran Parlimen pada Oktober tahun lalu ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. – Malaysiapost