DATUK Seri Anwar Ibrahim berharap Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) akan mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim.
Perdana Menteri berkata ia akan membolehkan negara bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua menteri peneraju bersama LIMA ’23, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta pasukan masing-masing yang memacu inisiatif ini.
“Saya juga mahu memuji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan pasukannya, khususnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kerana berjaya menerajui buat julung kalinya SpaceTech Nexus di LIMA tahun ini,” katanya memetik Bernama.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena LIMA ’23 di Pulau Langkawi hari ini.
Mengulas lanjur, Anwar berkata SpaceTech Nexus menunjukkan bahawa LIMA ’23 adalah acara berfokus masa depan dan sedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global US$10 trilion menjelang 2030.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, LIMA ’23 telah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara yang merangkumi sektor aeroangkasa dan maritim dari aspek ketenteraan dan awam.
Perdana Menteri turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu. – Malaysiapost